Tuesday, November 30, 2010

di mata orang luar, mesti rasa bercuti dan pergi meninggalkan sesuatu tempat untuk bersuka ria adalah perkara yang indah...

tapi dalam hati ini, Tuhan saja yang tahu betapa rasa tidak sedapnya setiap kali tempat yang familiar ditinggalkan.

bukan kerana apa... tapi pengalaman lalu menimbulkan rasa tidak indah..

sewaktu pulang dari Phuket, aku disambut ayahku dengan kaki bersimen...
beberapa hari setelah pulang dari Bali, sesudah semua souvenier ku beri, akhirnya 'kamu' membuka cerita tentang apa yang 'dilakukannya' sepanjang ketiadaanku yang menyumbang kepada kekecewaanku tahap tertinggi... (dan aku yakin apa2 yang dilakukannya itu terjadi sewaktu aku menulis puisi di pantai Kuta itu - patut la!)
seminggu setelah menjadi anak angkat di Alor Setar, aku diberi kejutan dengan tidak terus pulang ke rumah sebaliknya ke hospital untuk melawat ayahku yang sudah seminggu juga 'menginap' di situ tanpa pengetahuanku...

dan beberapa peristiwa lagi setiap kali aku ke mana-mana...

jadi, bukan mudah...

dan untuk mengetahui berita tidak best tentang sesuatu yang sangat mendukacitakan saya dan rakan2 tentang sesuatu perkara yang telah kami bersungguh2 melakukannya, lagi la tak best. dan terpaksa meninggalkan mereka di kala semangat terudum, adalah sangat tidak mudah...

ya Allah, walau apa pun yang berlaku, aku tetap berharap semoga semuanya akan baik-baik sahaja...

kita jumpa minggu depan, insyaAllah!


eh jap.

puisiku hentam sajalah ku yang seterusnya....
(haaa abis la sape suruh mintak aritu kan dah berduyun duyunnnnnn :P)





Bukan aku tak mampu jadi hipokrit dan berpura-pura,
tapi aku hanya tak mahu jadi kamu,
hidup penuh tipu daya,
drama swasta,
cengkerama...

Apa semua itu? Terangkan padaku..
Agar aku tahu, manusia jenis apakah kamu..
Oh tidak! Aku memang sudah tahu..
Sebab itu kataku,
aku tak mahu jadi
seperti kamu.

8 July 2007, 1:07am

Thursday, November 25, 2010

Buat pertama kalinya ku pertontonkan kepada masyarakat..
Puisi hentam sajalah nukilan ikhlas dari hatiku!
(mcm kelaka dan byk je bole betulkan bila baca blk, tp yg pasti bila baca balik saya tau ia lahir terus dari hati yang penuh harapan untuk segala perkara menjadi lebih murni)

khas untuk as dan sa!


~

Sendirian aku melabuh di atas pasiran putih Kuta
melihat desiran ombak besar dipimpin sejuknya angin

lantas aku terkenang kamu yang seperti ombak itu
bisa menghanyutkan tapi bisa menenangkan..
bisa menjelekkan tapi bisa mengindahkan..

tapi aku tak mahu kamu terusan seperti ombak itu
kerana ombak itu tiada hentinya..

4 Feb 2007
2259
Pantai Kuta, Bali


Tuesday, November 23, 2010

kadang sedu-sedan
kadang merah menyala
kadang kosong hampa
penuh keluhan!

Mengapa banyak sekatan
mengapa banyak rintangan?

Sana ada tangan melambai
sana ada suara menghimbau
tapi hamba dalam kurungan
kamar sempit beradat larangan

benci pada kongkongan ini
mahu robohkan sekatan diri
tapi hamba hanyalah puteri
antara ribuan yang ingin berbakti

3 Julai 1955
Salmi Manja

Monday, November 22, 2010

(untuk perajurit yang ke Kongo)

kekasihku,
di pelabuhan pertama kau ada di sana
sedang aku ketinggalan
kita sudah berjauhan
saling tinggal-meninggal

kekasihku,
di pelabuhan kedua ada kapal-kapal untukmu
sedang aku dalam kebeningan
kau akan sebentar berhijrah
kita saling rela-merela

kekasihku,
aku gadismu baharu remaja tiga tahun
dan kau begitu kesatria
mencintai dari sejak kelahiran
kita saling memberi dan menerima

kekasihku,
dakaplah Tuhan walau di mana ada
cumbuilah Ia seerat-erat imanmu
seperti kau mencumbuiku sepenuh waja
kita saling puja-memuja

kekasihku,
kenangkanlah pada permohonanku
tak usah sekali-kali diangankan
untuk menghiris-hiris puas
daging kekasih yang tak kau kenal

Petaling Jaya
12 Okt 1960
Salmi Manja


(sangat suka amaran perenggan terakhir hehe)

Sunday, November 21, 2010

Peninjauan mata antara kabus pagi sedondon
diri di jendela menatap wajah yang ditinggalkan
kehibaan hanya berhiba bila langkah terayun
semboyan semalam kami berpisah - berjauhan

betapa sedih tanah yang ditinggalkan, oh, betapa pedihnya
ayah dan ibu di mata mesra
adik dirindu tiada terhingga
rindukan pada segala, segala

pencarian tiga abad yang kusua sepekan lalu
terasa bertuahnya pencarian seindah itu
teman disua entah di bulan mana
begitu seiya begitu setia

peninjauan mata antara mentari mula berkaca
diri di jendela terkenangkan segala
kerinduan hanya merindu bila diri di rantau
hilang semboyan semalam dan hati, ah terasa risau!

Kuala Lumpur
29 April 1959
Salmi Manja

Saturday, November 20, 2010

Pada makam yang bisu
pada bunga yang layu
pada musim yang syahdu
penyair selalu berseru:

hidup ini ada musim syurga dan neraka
engkau Adam dan Hawa pembentuk itu semua
antara titisan suci dan noda!

Singapura
20 Ogos 1956
Salmi Manja

Friday, November 19, 2010

(petikan)

Jauh tempat terdamparnya. Seorang. Seorang.
Bersama cita pelaut. Sekarang terang.
Harapannya sebesar bulan. Diyakininya. Diyakininya.
Kekecewaan sehalus hama. Dikiranya. Dikiranya.

Elizabeth Walk
Singapura
4 Dis 1957
A Samad Said

Thursday, November 18, 2010

tak datang barangkali burung berkepak yang pergi,
entah di gaung mana terkapar ia.
Tangan menanti, hati menanti
berita antara syurga dan neraka.
Tenggelam.

Begini: sehari (semalam kata) kita buka jendela.
Barangkali bintang ada, barangkali indah ia.
Tapi dalam dada (sekarang kata) malam parah.
Mata boleh menembus langit, burungnya tiada.

Mahu apa barangkali, ada bertanya, barangkali ada,
(melalui mata, melalui hati, melalui suara).
Yang ditunggu bukan ke tangan datangnya. Tahu,
suara bukan untuk hilang. Pencarian lalu.

Barangkali tahu semua,
jendela memaparkannya:
langit dan burung sama-sama tiada.
Menanti bukan manusia.

Singapura
22 Nov 1957
A Samad Said